Wednesday, July 20, 2011

Telefon hologram menuju realiti?

PERNAH menonton siri televisyen Star Strek? Jika ya, anda mungkin pernah melihat adegan bagaimana krew kapal angkasa tersebut boleh berkomunikasi dengan rakan melalui alat yang membolehkan mereka seakan-akan berada di tempat yang sama.


TELEFON hologram akan memancarkan imej video 3D untuk membolehkan anda melakukan sidang video.

Teknologi yang dikenali sebagai hologram itu akan memudahkan anda berbual mesra kerana imej video rakan anda akan dipancarkan melalui telefon bimbit anda melalui projektor.

Teknologi ini semakin menghampiri realiti memandangkan kini anda telah boleh melakukan persidangan video di telefon bimbit 3G dan teknologi tiga dimensi (3D) juga semakin maju sehingga begitu banyak digunakan di televisyen rumah.

Sehubungan itu, di masa depan, teknologi skrin boleh dianggap lapuk kerana kebanyakan alat komunikasi akan mempunyai kemampuan memancarkan imej video bergerak berbentuk hologram.

Seorang pereka bentuk, Mac Funamizu misalnya telah mereka reka bentuk konsep Telefon Bimbit Hologram Trou yang menggunakan hologram 3D yang boleh dipancarkan ke kawasan yang kosong.

Projektor kecil yang terdapat pada telefon itu akan memancarkan imej video maya apabila anda menerima panggilan telefon seperti melakukan persidangan video melalui telefon 3G.

Rekaan Funamizu ini juga sangat fleksibel kerana telefon itu boleh diletakkan di pergelangan tangan seperti jam tangan dan panggilan boleh dibuat atau diterima tanpa perlu anda membukanya.

Funamizu juga telah mencipta telefon boleh dipakai Dew yang akan memaparkan teks dalam bentuk 3D.

Telefon itu boleh memaparkan maklumat teks digital seperti waktu, SMS, e-mel dan sebagainya yang dipancarkan daripada telefon dalam bentuk 3D di atas telefon walaupun telefon anda itu tidak mempunyai skrin biasa.

Pengguna yang menggunakan Dew di pergelangan tangan boleh menyimpan segala maklumat mereka dengan mudah untuk digunakan apabila diperlukan seperti SMS, e-mel, nota dan sebagainya.

Sebuah lagi telefon konsep menggunakan teknologi hologram ialah Cobalto yang menunjukkan ciri-ciri futuristik kerana mempunyai paparan imej 3D secara nyata di hadapan anda.

Seperti anda melihat filem 3D, imej di telefon bimbit ini boleh dilihat dari pelbagai sudut yang mana seolah-olah anda di kawasan tersebut.

Sekali lagi pereka untuk telefon hologram ini ialah Funamizu yang yakin prototaip telefon ini boleh dibangunkan dalam masa beberapa tahun sahaja lagi kerana perkembangan teknologi 3D yang semakin canggih masa kini.

Selain itu, sebuah telefon konsep hologram dikenali sebagai Black Hole juga telah direka untuk menjadi salah satu produk keluaran Apple menjelang 2020.

Telefon itu mempunyai bola tetikus di tengah-tengahnya yang membolehkan pengguna mengawal fungsi telefon dan aplikasi dengan hanya menyentuh bayangan di udara.

Telefon kecil itu boleh diletakkan di atas tapak tangan anda atau di atas meja untuk membolehkan ia memancarkan butang-butang aplikasi di udara.

Kejayaan syarikat dari India, Infosys mendaftarkan paten untuk pemancaran 3D resolusi tinggi bagi filem, barangan dan imej melalui peranti bergerak baru-baru ini membuktikan teknologi hologram dan 3D maya sememangnya hampir.

Penganalisis teknologi meramalkan, sebanyak lapan juta unit skrin 3D akan dipasarkan tahun ini terutama yang digunakan di televisyen, panggung wayang dan sebagainya.

Sumber: Megabait Utusan Malaysia

Tuesday, July 5, 2011

Memahami undang-undang jenayah siber

KINI tanya saja, siapa yang tiada laman web sosial? Seawal usia awal tadika sehingga ke usia emas boleh dikatakan mempunyai akaun laman web sosial.

Selain itu rakyat negara ini juga lebih gemar membayar bil dan membeli-belah di alam maya.

Mereka tidak perlu bimbang dengan masalah tempat letak kereta, masa kaunter bil dibuka atau mungkin diragut.

Kini semuanya di hujung jari!

Bagaimanapun dunia tanpa sempadan kini sebagai lubuk kepada penjenayah siber bagi pengguna yang leka dan tidak berhati-hati.

Walaupun modus operandinya berbeza tetapi kesan yang ditinggalkan masih sama - kerugian dan mungkin trauma.

Jika dulu banyak kes jenayah siber menjurus kepada teknikal dan melibatkan mereka yang pakar dan pengkomputeran seperti virus, botnet dan malware.

Tetapi kini jenayah siber di Internet menjurus kepada aktiviti sosial yang melibatkan pelbagai jenis penipuan.

Suatu masa dulu tentu ramai yang pernah menerima emel mengenai pemindahan harta pusaka yang melihatkan berbilion ringgit menyebabkan mangsa kerugian.

Selepas itu kenalan di laman sosial yang kononnya menghantar pelbagai barangan dan wang tunai dan 'tersangkut' di pihak kastam menyebabkan mangsa kerugian ratusan ribu ringgit.

Ini merupakan beberapa kes penipuan yang berlaku di alam siber.

Timbalan Presiden Perhubungan Jaringan Komunikasi Cyber Security Malaysia, Mohd. Shamir Hashim berkata, walaupun kes jenayah siber sama seperti jenayah lain tetapi masalah yang dihadapi oleh pihak berkuasa adalah mencari bahan bukti.

"Masalahnya dalam jenayah siber sukar bagi mendapatkan bahan bukti yang nyata seperti jenayah biasa misalnya pembunuh atau perompak.

"Bukannya tidak ada bukti tetapi mengambil masa untuk mencari bukti-bukti yang kukuh kerana segalanya adalah siber," kata beliau.

Justeru bagi merapatkan jurang antara pengamal undang-undang dan kes-kes jenayah siber, Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (SCSM) akan menganjurkan seminar bertajuk Merapatkan Jurang: Perundangan dan Teknikal Mengenai Kes Jenayah Siber' bermula esok hingga Khamis ini.

Seminar yang pertama kali dianjurkan di negara ini akan menggabungkan aspek undang-undang dan teknikal bagi jenayah siber.

Seminar berkenaan disasarkan bagi membina landasan bagi mengumpulkan pakar undang-undang dan teknikal terutama mereka yang terlibat dalam kes jenayah siber.

"Mereka akan berkongsi maklumat berasaskan pengalaman dan bidang kepakaran," tambah beliau.

Sesinya direka khusus bagi memberi peluang kepada peserta berinteraksi dengan tenaga pakat serta membincangkan kaedah penyelesaian jenayah dan keselamatan siber.

Bagi memastikan semua peserta mendapatkan maklumat yang dikehendaki, tempat adalah terhad dan peserta digalakkan membuat pendaftaran.

Antara penceramah ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia , Lt. Kol. (B) Datuk Husin Jazri selain pegawai dari Jabatan Peguam Negara, , Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) , Bank Negara Malaysia (BNM), dan beberapa tokoh dari luar negara termasuk Office of Antiterrorism Assistance (ATA).

Sumber: MEGABAIT Utusan Malaysia