Friday, June 14, 2013

Selamat sejahtera kepada semua pelajar 5S3 sesi 2012/2013

sila download contoh projek multimedia ini
dalam google drive

login: teknologimaklumatsmktp
pswd: teknologi

Wednesday, October 5, 2011

Wednesday, July 20, 2011

Telefon hologram menuju realiti?

PERNAH menonton siri televisyen Star Strek? Jika ya, anda mungkin pernah melihat adegan bagaimana krew kapal angkasa tersebut boleh berkomunikasi dengan rakan melalui alat yang membolehkan mereka seakan-akan berada di tempat yang sama.


TELEFON hologram akan memancarkan imej video 3D untuk membolehkan anda melakukan sidang video.

Teknologi yang dikenali sebagai hologram itu akan memudahkan anda berbual mesra kerana imej video rakan anda akan dipancarkan melalui telefon bimbit anda melalui projektor.

Teknologi ini semakin menghampiri realiti memandangkan kini anda telah boleh melakukan persidangan video di telefon bimbit 3G dan teknologi tiga dimensi (3D) juga semakin maju sehingga begitu banyak digunakan di televisyen rumah.

Sehubungan itu, di masa depan, teknologi skrin boleh dianggap lapuk kerana kebanyakan alat komunikasi akan mempunyai kemampuan memancarkan imej video bergerak berbentuk hologram.

Seorang pereka bentuk, Mac Funamizu misalnya telah mereka reka bentuk konsep Telefon Bimbit Hologram Trou yang menggunakan hologram 3D yang boleh dipancarkan ke kawasan yang kosong.

Projektor kecil yang terdapat pada telefon itu akan memancarkan imej video maya apabila anda menerima panggilan telefon seperti melakukan persidangan video melalui telefon 3G.

Rekaan Funamizu ini juga sangat fleksibel kerana telefon itu boleh diletakkan di pergelangan tangan seperti jam tangan dan panggilan boleh dibuat atau diterima tanpa perlu anda membukanya.

Funamizu juga telah mencipta telefon boleh dipakai Dew yang akan memaparkan teks dalam bentuk 3D.

Telefon itu boleh memaparkan maklumat teks digital seperti waktu, SMS, e-mel dan sebagainya yang dipancarkan daripada telefon dalam bentuk 3D di atas telefon walaupun telefon anda itu tidak mempunyai skrin biasa.

Pengguna yang menggunakan Dew di pergelangan tangan boleh menyimpan segala maklumat mereka dengan mudah untuk digunakan apabila diperlukan seperti SMS, e-mel, nota dan sebagainya.

Sebuah lagi telefon konsep menggunakan teknologi hologram ialah Cobalto yang menunjukkan ciri-ciri futuristik kerana mempunyai paparan imej 3D secara nyata di hadapan anda.

Seperti anda melihat filem 3D, imej di telefon bimbit ini boleh dilihat dari pelbagai sudut yang mana seolah-olah anda di kawasan tersebut.

Sekali lagi pereka untuk telefon hologram ini ialah Funamizu yang yakin prototaip telefon ini boleh dibangunkan dalam masa beberapa tahun sahaja lagi kerana perkembangan teknologi 3D yang semakin canggih masa kini.

Selain itu, sebuah telefon konsep hologram dikenali sebagai Black Hole juga telah direka untuk menjadi salah satu produk keluaran Apple menjelang 2020.

Telefon itu mempunyai bola tetikus di tengah-tengahnya yang membolehkan pengguna mengawal fungsi telefon dan aplikasi dengan hanya menyentuh bayangan di udara.

Telefon kecil itu boleh diletakkan di atas tapak tangan anda atau di atas meja untuk membolehkan ia memancarkan butang-butang aplikasi di udara.

Kejayaan syarikat dari India, Infosys mendaftarkan paten untuk pemancaran 3D resolusi tinggi bagi filem, barangan dan imej melalui peranti bergerak baru-baru ini membuktikan teknologi hologram dan 3D maya sememangnya hampir.

Penganalisis teknologi meramalkan, sebanyak lapan juta unit skrin 3D akan dipasarkan tahun ini terutama yang digunakan di televisyen, panggung wayang dan sebagainya.

Sumber: Megabait Utusan Malaysia

Tuesday, July 5, 2011

Memahami undang-undang jenayah siber

KINI tanya saja, siapa yang tiada laman web sosial? Seawal usia awal tadika sehingga ke usia emas boleh dikatakan mempunyai akaun laman web sosial.

Selain itu rakyat negara ini juga lebih gemar membayar bil dan membeli-belah di alam maya.

Mereka tidak perlu bimbang dengan masalah tempat letak kereta, masa kaunter bil dibuka atau mungkin diragut.

Kini semuanya di hujung jari!

Bagaimanapun dunia tanpa sempadan kini sebagai lubuk kepada penjenayah siber bagi pengguna yang leka dan tidak berhati-hati.

Walaupun modus operandinya berbeza tetapi kesan yang ditinggalkan masih sama - kerugian dan mungkin trauma.

Jika dulu banyak kes jenayah siber menjurus kepada teknikal dan melibatkan mereka yang pakar dan pengkomputeran seperti virus, botnet dan malware.

Tetapi kini jenayah siber di Internet menjurus kepada aktiviti sosial yang melibatkan pelbagai jenis penipuan.

Suatu masa dulu tentu ramai yang pernah menerima emel mengenai pemindahan harta pusaka yang melihatkan berbilion ringgit menyebabkan mangsa kerugian.

Selepas itu kenalan di laman sosial yang kononnya menghantar pelbagai barangan dan wang tunai dan 'tersangkut' di pihak kastam menyebabkan mangsa kerugian ratusan ribu ringgit.

Ini merupakan beberapa kes penipuan yang berlaku di alam siber.

Timbalan Presiden Perhubungan Jaringan Komunikasi Cyber Security Malaysia, Mohd. Shamir Hashim berkata, walaupun kes jenayah siber sama seperti jenayah lain tetapi masalah yang dihadapi oleh pihak berkuasa adalah mencari bahan bukti.

"Masalahnya dalam jenayah siber sukar bagi mendapatkan bahan bukti yang nyata seperti jenayah biasa misalnya pembunuh atau perompak.

"Bukannya tidak ada bukti tetapi mengambil masa untuk mencari bukti-bukti yang kukuh kerana segalanya adalah siber," kata beliau.

Justeru bagi merapatkan jurang antara pengamal undang-undang dan kes-kes jenayah siber, Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (SCSM) akan menganjurkan seminar bertajuk Merapatkan Jurang: Perundangan dan Teknikal Mengenai Kes Jenayah Siber' bermula esok hingga Khamis ini.

Seminar yang pertama kali dianjurkan di negara ini akan menggabungkan aspek undang-undang dan teknikal bagi jenayah siber.

Seminar berkenaan disasarkan bagi membina landasan bagi mengumpulkan pakar undang-undang dan teknikal terutama mereka yang terlibat dalam kes jenayah siber.

"Mereka akan berkongsi maklumat berasaskan pengalaman dan bidang kepakaran," tambah beliau.

Sesinya direka khusus bagi memberi peluang kepada peserta berinteraksi dengan tenaga pakat serta membincangkan kaedah penyelesaian jenayah dan keselamatan siber.

Bagi memastikan semua peserta mendapatkan maklumat yang dikehendaki, tempat adalah terhad dan peserta digalakkan membuat pendaftaran.

Antara penceramah ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia , Lt. Kol. (B) Datuk Husin Jazri selain pegawai dari Jabatan Peguam Negara, , Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) , Bank Negara Malaysia (BNM), dan beberapa tokoh dari luar negara termasuk Office of Antiterrorism Assistance (ATA).

Sumber: MEGABAIT Utusan Malaysia

Friday, June 10, 2011

Telefon halimunan di tapak tangan



UNTUK menggunakan telefon halimunan ini, pengguna hanya perlu menekan di tapak tangan mereka yang mewakili butang aplikasi yang terdapat dalam telefon pintar iPhone.

KANAK-KANAK mungkin golongan yang sering menggunakan 'telefon bayangan' (imaginary phone) atau 'telefon halimunan' kerana mereka boleh berbual dengan 'rakan-rakan yang jauh' dengan hanya bercakap kepada tangan atau jari.

Bagaimanapun, jika orang dewasa didapati bercakap dengan tangan atau asyik menekan-nekan tapak tangannya dengan jari, mungkin dia akan dianggap sebagai orang gila.

Pada masa depan, ia tidak akan berlaku. Sesiapa yang menggangap anda orang gila kerana terlalu asyik bermain-main dengan tapak tangan dianggap ketinggalan zaman kerana mereka sebenar tidak tahu anda sedang mengendalikan telefon bimbit.

Ketika itu, anda boleh menekan butang atau ikon di skrin telefon iPhone anda dengan hanya melakukannya di atas tapak tangan. Anda boleh mendail atau menekan butang-butang di skrin telefon anda walaupun tiada telefon di tangan.

Seorang penyelidik, Sean Gustafson dari Hasso Plattner Institute di Potsdam University, Jerman misalnya boleh mengawal iPhone yang berada di dalam seluarnya dengan hanya menekan tapak tangan yang kosong.

Teknologi seumpama ini mungkin berguna apabila telefon berdering tetapi anda sukar menjawabnya kerana tangan basah, tangan dipenuhi tepung, sedang berdiri di dalam keretapi, telefon terjatuh atau juga mungkin anda sedang bersolat.

Maka dengan hanya menekan tapak tangan, anda boleh mematikan panggilan itu, menjawabnya dengan menghidupkan speaker kuat, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sambil menyatakan anda sedang sibuk dan sebagainya.

Idea Gustafon dan rakan-rakan penyelidiknya yang diterajui oleh profesor sains komputer, Patrick Baudisch bertujuan menggabungkan fungsi telefon dan alat kawalan jauh televisyen.

Untuk membolehkan teknologi ini berfungsi, ia memerlukan dua elemen penting iaitu pengguna mengetahui di manakah butang dan fungsi di telefon asal dan juga teknologi sensor yang boleh mengesan dan memberi arahan kepada telefon tanpa mengira di mana ia berada.

iPhone kepada iTangan

Bagi menjalankan ujian teknologi ini, kumpulan penyelidik tersebut telah memilih 12 sukarelawan pengguna iPhone yang benar-benar mengetahui di manakah letaknya kedudukan butang atau ikon aplikasi di telefon bimbit mereka walaupun tanpa melihat.

"Kami mendapati 68 peratus daripada pengguna iPhone mengetahui butang-butang aplikasi penting jika ia berada di tapak tangan mereka.

"Ini bermakna mereka merupakan golongan yang sedia menggunakan 'telefon bayangan," kata Baudisch kepada New Scientist.

Bagi membolehkan telefon itu mengetahui apa yang ditekan oleh pengguna di tapak tangannya, penyelidik itu menggunakan 'kamera mendalam' seperti yang digunakan dalam sistem sensor pergerakan Kinect untuk permainan Xbox 360 oleh Microsoft.

Kamera sensor itu akan mengesan pergerakan jari pengguna dan melihat di mana ia diletakkan dan seterusnya arahan itu dipindahkan kepada telefon bimbit secara wayarles.

Dalam ujian, kamera itu diletakkan di kepala pengguna tetapi menurut penyelidik itu teknologi kamera yang semakin kecil akan membolehkan ia dipasang pada butang baju, kerongsang atau loket di masa depan.

"Mungkin di suatu hari nanti, pengguna boleh meninggalkan telefon mereka di rumah sahaja dan kemudiannya mengarahkan telefon itu menghantar SMS dari jarak jauh menggunakan sentuhan di jari," kata Baudisch.

Bagaimanapun, menjawab telefon memerlukan telefon itu berada berdekatan pengguna kerana ia perlu didengar oleh mikrofon telefon dan bunyi dikeluarkan melalui speaker.

Pasukan penyelidik dari Potsdam University itu bukan sahaja sedang mengusahakan telefon halimunan tetapi mereka juga sedang berusaha menggantikan alat kawalan televisyen yang selalu tersembunyi di celah sofa itu dengan menggunakan arahan tangan sahaja.

Projek telefon bayangan ini juga merupakan sebahagian daripada projek bermatlamat lebih besar iaitu mewujudkan Antaramuka Bayangan bagi pelbagai produk elektronik.

Perkembangan dalam bidang bidang teknologi sentuhan untuk telefon bimbit ini sememangnya agak menarik kerana jika dahulu anda memerlukan pen stylus untuk mengawal butang-butang di skrin sesentuh, kemudian anda menggunakan jari di skrin dan di masa depan, dengan sentuhan di tapak tangan juga membolehkan anda menggunakan telefon.

Idea untuk berinteraksi dengan komputer sememangnya bukan baru seperti dilakukan Microsoft melalui sensor Kinectnya. Sony juga pernah membangunkan EyeToy untuk perisian dan kamera video yang mengesan pergerakan untuk PlayStationnya.

Projek penyelidikan berasaskan gerak isyarat dikenli sebagi SixthSence yang dijalankan oleh Pattie Maes, profesor di Massachusset Institute of Technology bersama pelajarnya menggunakan kamera boleh pakai yang merakamkan pergerakan pengguna dan kemudiannya dipancarkan melalui projektor kecil di mana-mana permukaan.

Baudisch dan Gustafson menyatakan sistem mereka lebih mudah daripada SixthSense kerana ia memerlukan komponen yang sedikit dan murah.

Selain 'melukis' di tapak tangan menggunakan jari, pengguna juga boleh membuat pergerakan jari di udara yang kemudiannya diterjemahkan melalui telefon bimbit atau komputer.

Sememangnya perkembangan teknologi bayangan atau halimunan ini sesuatu yang sangat menarik untuk dibuat kajian kerana di masa depan, tentu pemandangan manusia menggunakan komputer atau telefon bimbit dengan hanya menggerakkan tangan dan jari di udara akan menjadi satu kenyataan

Sumber: Megabait Utusan Malaysia

Tuesday, May 24, 2011

RANGO THE WORLD

RANGO: THE WORLD ADALAH PERMAINAN DALAM TALIAN DALAM DUNIA MULTI PEMAIN YANG DIINSPIRASI OLEH FILEM ANIMASI DENGAN TAJUK RANGO.

Seluruh dunia dibina dengan asset yang dihasilkan oleh juruanimasi filem itu dan permainan ini adalah berasaskan pelayar web di mana anda hanya perlukan sebuah PC, pelayar internet dengan talian internet. Anda akan mencipta watak anda sendiri dan menjelajah Bandar bernama Dirt, bermain permainan mini dan berinteraksi dengan penduduk. Anda juga boleh membuat watak lain untuk bersama anda dalam dunia Rango. Seluruh permainan dikawal menerusi tetikus atau trakpad. Klik ke mana anda hendak pergi, klik pada watak-watak yang anda hendak berinteraksi, semuanya berjalan lancar namun ada ruang terhad yang tidak boleh anda lalui dalam dunia kecil itu. Penjelajahan anda akan membawa anda ke tempat tertentu, bercakap dengan watak-watak lain dan animasi permainan adalah sungguh lancar walaupun ia tidak seperti filem animasinya tetapi watak-wataknya dan keadaan sekelilingnya kelihatan sungguh menarik.

Jelajah yang paling menarik melibatkan sebuah permainan mini yang disesuaikan dengan filem animasi. Rango harus berlari dari sebuah burung besar dan melompat di atas beberapa jurang. Ia kelihatan mudah dan juga menyeronokkan di samping persembahan anda akan dihitung dan diberikan kedudukan. Ia memberikan cabaran kepada anda. Terdapat banyak pilihan tetapan yang memberikan peminat PC sebuah permainan yang fleksibel. Anda diberikan kebebasan memilih pakaian watak anda dan menghias bilik anda sendiri. Ibubapa juga akan berasa lega kerana permainan akan dipantau 24 jam oleh para moderator dan jumlah bilik chat juga terhad. Anda perlu memilih apa yang hendak anda katakan dan segala kotak chat akan diperhatikan dan ditapis. Dengan itu anda tidak perlu risau jika anak anda bermain di laman web ini.

Tuesday, April 12, 2011

Kenapa cache perlu kosong?

ARKIB : 11/04/2011



Cache perlu dikosongkan bagi mengelakkan maklumat penting anda diceroboh. - Gambar hiasan

Setiap kali selepas keluar atau log out daripada laman web perbankan internet, sering kali ada arahan untuk meminta kita mengosongkan cache. Apa itu cache dan kenapa perlu mengosongkannya?

-Murni , Temerloh

Cache adalah merupakan tempat simpanan sementara untuk menyimpan sesuatu maklumat atau data yang sedang diproses atau digunakan dalam sesebuah komputer.

Ia akan berada dalam bahagian tertentu pada cakera keras sesebuah komputer.

Bagi setiap pelayar web atau browser seperti Internet Explorer atau Mozilla Firefox dan sebagainya, segala maklumat web yang dilayari akan di simpan sementara dalam cache bagi setiap pelayar web tersebut.

Ini termasuk login dan kata laluan yang kita gunakan untuk memasuki sesebuah laman web seperti perbankan Internet, laman web sosial dan sebagainya.

Disarankan setiap kali sesudah kita memasuki sesebuah laman web terutama yang mempunyai transaksi kewangan, maklumat peribadi atau lain-lain, dikosongkan terlebih dahulu ruangan cache pelayar web bagi komputer yang digunakan.

Ini kerana sesiapa sahaja yang boleh mencapai komputer tersebut dan seterusnya pergi ke ruangan cache akan boleh memperolehi segala maklumat dan data yang terdapat di dalamnya.

Namun begitu, sekiranya ia adalah komputer kepunyaan sendiri, bagaimana?

Ya. Ia tiada masalah tetapi bagaimana sekiranya komputer tersebut jatuh ke tangan orang lain atau dipinjam untuk kegunaan orang lain?

Sudah tentu ia berisiko apatah lagi sekiranya komputer tersebut bukan milik kita seperti komputer yang terdapat di makmal-makmal pusat pengajian atau kedai-kedai akses Internet.

Lagi satu masalah adalah sekiranya komputer kita sering menggunakan capaian Internet tanpa wayar seperti Wi-fi dan sebagainya, ia memudahkan komputer tersebut terdedah kepada aktiviti pencerobohan atau penggodaman.

Sudah tentu sekiranya ia dicerobohi, maklumat dan data dalam cache tadi mudah diperolehi.

Bagi keselamatan maklumat dan data, perlu kita menghapuskan data atau maklumat yang terdapat di dalam cache pada pelayar web yang digunakan.

Seterusnya adalah kaedah untuk menghapuskan data yang terdapat dalam cache bagi pelayar web Internet Explorer dan Mozilla Firefox.

Bagi Internet Explorer, ruangan cache ini dikenali sebagai Temporary Internet Files. Sila ikut langkah-langkah yang di bawah:-

*Klik 'Tools'

*Pilih 'Internet Options'

*Klik 'General'

*Pada ruangan 'Browsing History', klik 'Delete'

*Pilih 'Temporary Internet Files' dan klik 'Delete'

*Klik 'OK'

*Klik 'OK' sekali lagi untuk menutup Internet Options.

Bagi Mozilla Firefox sila ikut langkah-langkah yang di bawah:-

*Klik 'Tools'

*Pilih 'Options'

*Pilih 'Advanced' dan klik 'Network'

*Pada ruangan Offline Storage , klik Clear Now.

*Klik 'OK'

Bagi pelayar web Mozilla Firefox, ia boleh dikonfigur secara automatik dengan mengosongkan ruangan cache apabila program Mozilla ditutup. Iaitu dengan cara seperti yang berikut:-

*Klik 'Tools'

*Pilih 'Options' , pilih 'Privacy'

*Pada ruangan 'History', setkan bahagian 'Firefox will:' kepada Use custom settings for history.

*Klik kotak semakan untuk Clear history when Firefox closes.

*Klik pada Settings, akan dipapar satu tetingkap Settings for Clearing History.

*Klik pada kotak semakan untuk ruangan 'Cache'.

*Klik 'OK' dan klik sekali lagi 'OK'

Itulah maklumat dan panduan berkenaan dengan cache yang ada dalam pelayar web yang digunakan.

Cara untuk menghilangkan data pada cache ini tidak sama bagi kesemua jenis pelayar web.

Di sini, saya berikan panduan untuk menghilangkan data cache yang ada pada pelayar web Internet Explorer dan Mozilla Firefox sahaja.

Sekiranya ada permintaan untuk pelayar-pelayar web yang lain, sila e-melkan kepada saya. Semoga semuanya memberi manfaat kepada semua.

Wednesday, March 23, 2011

ICT SPM 2010, lapan calon perolehi A

Salam Sejahtera semua,

SPM 2010 mencatat keputusan yang cemerlang secara keseluruhan. SMKTP di ranking ke 10 dalam daerah Kuantan dengan 21 calon memperolehi straight A. Tahniah kepada semua calon dan warga pendidik SMKTP.

ICT memperolehi lapan calon A(A dan A-) dan dengan GPS 3.16 dalam SPM 2010, dengan calon seramai 25 orang.
Tahniah kepada semua calon dan Pn. Zulfazila yang banyak berusaha membantu calon.

Harapan, SPM 2011 dan tahun2 berikutnya matapelajaran ICT meningkat dan terus meningkat.


terima kasih,

KP TM